fbpx
Puisi Jala oleh Kulleh Grasi.

Puisi Jala oleh Kulleh Grasi. Gambar: Zahid M. Naser.

Maulana: Makam Yang Perlu Dijaga Grasi (Bahagian II)

Sebagai seorang penyair, Kulleh Grasi sudah memiliki topeng-topeng yang besar, kerana latar belakang yang beliau miliki.

Ketika saya meletakkan makam maulana kepada sang penyair, janganlah pula disalah anggap yang makam itu cuba menjuluknya sebagai seorang besar dan wali.

Makam maulana itu adalah sebuah makam rapuh, senang pecah jika tidak berhasil dalam suluknya.

Suluk di sini – adalah idea, kecermatan dan hemat – Jika Kulleh Grasi berjaya dalam suluknya, makam itu akan terus tersandang, namun jika tidak, akan lurutlah makam itu daripadanya.

Dalam menanggapi karya-karya Kulleh, kita akan menyedari sorokan-sorok yang – iya, kreatif – namun untuk buku ini, sorokan-sorokan yang begitu banyak sebetulnya mengganggu saya, dan bahkan saya pasti, Kulleh juga pasti akan bersetuju dengan saya.

Sorokan-sorokan yang terlalu “ekstrem” atau terlalu “dalam” mengganggu seorang penikmat puisi untuk menikmatinya dengan lebih nikmat.

Idea penyair seakan pemain sorok-sorok yang pandai bergerak mencari “ibu” – pantas dan cergas menyorok – namun kelibatnya kelihatan antara penyorok-penyorok yang lain.

Untuk ini, kecermatan ketika menyusun alur naratif perlu diperkasakan oleh Kulleh. Contohnya dalam puisi Jala.

Jala-jala yang robek
ikan baung sinis
sungai kurang pasti
kodok-kodok saling bertanya
kalau bukan ke sungai kerana berdayung

Setiap jahitan jala
ada bahasa

Pada bait Kodok-kodok saling bertanya/kalau bukan ke sungai kerana berdayung kita akan merasakan kejanggalan kerana naratifnya tergantung. Bukan sahaja ia tergantung, bahkan baitnya tidak sempurna.

Nasib Kulleh baik, kerana ada terjemahan Inggeris untuk puisi ini, Pauline Fan menterjemahkan bait tersebut begini:

Toads ask if the fishermen
Have come not just to boat

Every stitch in the net
Is a tongue

Jika tidak ada terjemahan Pauline, puisi Jala tidak dapat dinikmati secara lazat, seperti kita makan nasi berlaukkan lima macam, namun hanya sayur lemaknya saja yang dapat kita kunyah, sementara dagingnya liat, nasi separuh masak dan lauk lain hambar.

Atau dengan kata mudah, cerita penuhnya tidak kesampaian.

Sebuah naratif selalunya memiliki kebulatan idea, butirannya pula harus menyokong kebulatan idea itu. Jika butiran itu tersekat-sekat dan tidak ampuh, ia akan mengganggu.

Sukar untuk saya menikmati butiran-butiran daripada sebuah naratif jika butiran itu gagal menyokongnya.

Dan sesebuah butiran – atau dalam hal ini adalah bait puisi – hanya akan dapat dinikmati jika keseluruhan idea daripada si penyair ditangkap setiap perkataan dalam bait-baitnya.

Sebagai seorang penyair, Kulleh Grasi sudah memiliki topeng-topeng yang besar, kerana latar belakang yang beliau miliki. Baik ia berupa lagenda, mitos, mantera, sejarah dan bahasa. Ini adalah kelebihan.

Bagaimanapun, terkadang kelebihan boleh menjadi sisi kelemahannya juga. Saya tahu, Kulleh menyedari hal ini. Dan kerana itu juga mungkin, Kulleh jauh-jauh menyorok. Dia hanya muncul sekejap-sekejap mencari si “ibu”.

Dia tidak perlu menceritakan segala lagenda, tidak perlu menawarkan segala mitos. Untuk Kulleh cukup untuk dia mencantum secebis dirinya dan secebis lagendanya.   

Dengan itu, saya nampak, dalam Telaiku Kenyalang, Kulleh menggunakan kesemuanya bagi menceritakan siapakah; Akui/Kulleh/Grasi.

Gambar: Zahid M. Naser.

Atau jika tidak menceritakan dirinya, Kulleh mungkin bermanipulasi – seorang penyair adalah seorang manipulator yang baik.

Gerimis menurun,
Lalang melayu di tepian ara
Grasi mengangkang mendongak ke belakang
Anak mensia tertidur di jelapang.

Ular berambus ke sarang
Kulitnya tercalar terkena batang
Kenapa kau sembunyi?

Melolong dan terus melolong
Irama bergema daun
Juga turut berdiam

“Igat, mari pulang”
“Igat, mari pulang”
“Igat, mari…”

Dalam puisi Pasun Menyalak ini, manipulasi Kulleh terhadap lagenda – apa itu dewa leluhur – mahu pun latar cerita beberapa wataknya kemas disingkap dalam empat rangkap puisi; dengan empat perenggan, empat babak naratif ini menjadikan Kulleh sebagai pencerita yang baik.

Kita tidak memerlukan banyak fikir untuk memahami keseluruhan puisi ini – bahkan untuk orang yang mungkin tidak pernah mengenal siapa Igat, Grasi, ular dan anak mensia, dapat menangkap sebuah landskap ataupun babak yang cuba diceritakan Kulleh.

Manipulasi Kulleh boleh kita dapati dari rangkap kedua puisi, cukup dengan satu persoalan; Ular berambus ke sarang/kulitnya tercalar terkena batang/Kenapa kau sembunyi?

Persoalan-persoalan adalah mata kail penting bagi seorang penyair. Ia tidak semestinya bertanda. Terkadang cukup dengan menyorokkan siapa dan apa dengan satu bait butiran retorik. Pasun Menyalak menyajikan kita hal itu.

Apa pun, dengan 30 sajak Telaiku Kenyalang. Dengan segala saratannya. Saya dapati Kulleh tidak menyogokkan sentimen-sentimen yang tidak perlu. Dan hal ini adalah antara hal utama yang menyebabkan Kulleh saya panggil sebagai maulana.

Dengan naratif indigenous, atau orang asal. Kulleh tidak bersusah-payah untuk mengangkat tema-tema yang sering kita dapati dalam dalam banyak puisi; perjuangan, pertentangan politik, hak.

Sebaliknya, Kulleh betul-betul jujur menceritakan diri dan orang-orangnya. Apa adanya dia; Akui Kulleh Grasi.

Barangkali inilah hal yang perlu dijaganya. Makam yang perlu dipeliharanya. Kerana tema-tema besar demikian memerlukan sebuah lagi perjalanan suluk.

Suluk yang saya maksudkan adalah pencarian dan pemaknaan hakikat. Antara ritual suluk itu adalah upaya untuk mengenal diri.

Dan, seorang penyair, ketika ia dapat mengenal dirinya – tentulah dengan pergelutan maha hebat dan berat – hakikat yang cuba ia sampaikan akan dengan mudah ditelusur orang dan si suluk-suluk lain.

Maka, hai si suluk maulana! Bejalailah semahumu, namun jejak pulang jangan kau lupa. Aminn.

Zahid M. Naser adalah penulis, penterjemah dan penyunting.

Pergi ke ATAS